SERIUS! - Inilah Kisah Banjir Paling Dahsyat Di Kelantan 1927, 1967, 2004

TAOTAUAJER - Tatkala negara kita dilanda musibah di beberapa negeri dinaiki air yang teruk, kita kenang kembali kisah Bah Merah dimana kejadian yang berlaku di Kelantan suatu masa dulu tahun 1927 dan tahun 1967 

Kisah Banjir Paling Dasyat Di Kelantan 1927, 1967, 2004

Hujan tanpa henti selama 10 hari pada 1926, mengakibatkan banjir besar atau lebih dikenali sebagai Bah Merah di kalangan penduduk Kelantan kerana turut meragut nyawa, memusnahkan tanaman dan rumah penduduk.

Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi banjir besar atau Bah Merah melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. PEGAWAI British (dari kiri) Mr Ferrier, Dr Tailor, Mr Kempdan Mr Worham berdepan banjir besar di Kota Bharu pada 1927.

Mengikut penduduk setempat nama Bah Merah diberikan berikutan banjir yang luar biasa ini airnya berwarna kemerah-merahan kerana lumpur daripada bahagian hulu negeri ini. Seorang warga emas, Yahya Hassan, 90, yang masih tidak dapat melupakan kejadian banjir besar pada 1926 menceritakan warna banjir bertukar daripada warna teh susu kepada merah kerana dipercayai ada bukit di bahagian hulu sungai runtuh dan mengakibatkan banjir lumpur. 

Beliau yang berasal dari Kampung Sireh, di sini, berkata, disebabkan hujan tanpa henti itu, kebanyakan tanaman penduduk kampung termasuk sireh turut musnah. "Bayangkan di Bulatan Kijang (Jalan Hamzah), air naik hingga paras lutut. Tempat itu dikira agak tinggi daripada tebing sungai. Masa itu, kawasan Masjid Jamek Muhammadi juga air terlalu deras sehingga melepasi kepala manusia. "Kelantan ini, kalau dikira hampir setiap tahun air naik tetapi tidaklah begitu teruk seperti pada 1927 dan 1967. 

Pada masa itu, pakcik masih ingat memotong empat tin minyak tanah dan disambungkan dengan paku untuk dijadikan perahu. "Masa itu masih kanak-kanak, memang seronok menaiki perahu daripada tin itu mengelilingi kampung. Tidak takut pun dihanyutkan air deras," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Kubur Kuda, di sini, semalam.

Bah Merah pada kedua-dua tahun itu turut merosakkan masjid tertua di Asia Tenggara, Masjid Kampung Laut yang mengakibatkan serambi serta beberapa bahagian masjid termasuk tiang dihanyutkan ke sungai.Ketika banjir besar itu, imam tua Masjid Pasir Pekan ketika itu, Allahyarham Wan Ahmad Wan Abdullah dikatakan terlihat mimbar masjid hampir dihanyutkan arus. 

Beliau dan beberapa orang lain berjaya menyelamatkannya dan mimbar itu dibawa pulang ke Masjid Pasir Pekan, Tumpat dan digunakan hingga sekarang.Pesara Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ibrahim Affandi Ahmad, 77, tidak dapat melupakan kejadian Bah Merah pada 1967 kerana kehilangan dua rakan sekerja. "Apabila air naik di Bukit Panau, Tanah Merah, kereta api tidak boleh beroperasi. Lima rakan sekerja, semuanya pemandu kereta api menaiki bot dari Kuala Krai untuk ke rumah masing-masing di kuarters Tumpat. "Setiba di Jambatan Sultan Yahya Petra, bot itu terbalik akibat terlanggar tiang jambatan dan semua penumpangnya hanyut. 

"Dua dari lima rakan pakcik, Hassan Laut dan Muhamad Yatim meninggal dunia dan mayat mereka dijumpai keesokan harinya, masing-masing di Kampung Laut, Tumpat dan Kedai Buluh, Pantai Cahaya Bulan. Tiga lagi pandai berenang dan selamat," katanya yang ketika itu tinggal di kuaters kakitangan KTMB Tumpat.

Bagi ratusan penghuni rumah rakit pula di sepanjang Sungai Kelantan, pengalaman menghadapi Bah Merah pada 1967 paling mencemaskan kerana berdepan dengan arus deras, ribut dan angin kencang. Surirumah, Mek Som Ali, 68, berkata dia masih ingat arwah ibunya, Wan Mah, hampir setiap masa mengingatkannya supaya tidak keluar dari rumah kerana khuatir dihanyutkan air deras

."Makcik masih ingat, arwah ibu sering pesan, jangan keluar rumah nanti jatuh dan mati. Memanglah, ketika itu, arus sungai terlalu deras sehingga berombak-ombak seperti di tengah laut."Orang dulu lain, kita sudah siap sedia setiap kali musim tengkujuh, bekalan makanan seperti beras sudah disimpan awal-awal. 

Jadi, tiada masalah. "Bagi penghuni rumah rakit ini tiada masalah kerana rumah kami akan turut naik mengikut pergerakan air kerana diikat dengan buluh di bahagian bawah dan diikat dengan empat tali besar di pokok yang ada di tebing sungai," katanya, di sini. Mek Som berkata, jiran yang tinggal di tebing sungai, ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara kerana ketika itu tiada pusat pemindahan banjir seperti sekarang.

Pada 2004, banjir besar turut melanda Kelantan dengan menyaksikan seluruh bandar Kota Bharu dan beberapa jajahan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai dinaiki air setinggi lebih dua meter. Banjir itu turut meragut 12 nyawa dan 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan. Rentetan kejadian bah besar yang kerap melanda itu menyebabkan bencana banjir musim tengkujuh sering dikaitkan dengan Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini.
sumber : pp-sk.blogspot.com

Post a Comment

Previous Post Next Post